Journal Detail

Journal Title
Pengaruh Beban Penjagaan terhadap Dimensi Kualiti Hidup: Kawalan Diri sebagai Mediator dalam Kalangan Penjaga Utama Pesakit Kanser di Hujung Nyawa
Download Hit
1094
Abstract
Kemajuan dalam bidang perubatan telah menyebabkan berlakunya peralihan peranan di dalam aktiviti penjagaan pesakit kronik terutamanya pesakit yang berada pada fasa terminal ini. Peralihan penjagaan dari hospital ke rumah memerlukan penjaga utama yang terdiri daripada ahli keluarga untuk melakukan pelbagai usaha dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran dan isu yang melibatkan penjagaan saat akhir selain daripada perlu menerima hakikat akan pemergian ahli keluarga mereka. Tanpa pengetahuan dan persediaan yang rapi, penjaga utama cenderung untuk merasa terbeban dengan peranan baru yang perlu mereka galas dan sekaligus memberikan kesan secara tidak langsung kepada kehidupan penjaga terutamanya ke atas beberapa dimensi dalam kualiti hidup mereka. Kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti pengaruh beban penjagaan terhadap dimensi kualiti hidup dan melihat peranan kawalan diri yang berperanan sebagai mediator terhadap beban penjagaan dan dimensi kualiti hidup dalam kalangan penjaga utama pesakit kanser dalam fasa terminal. Kajian ini merupakan kajian keratan rentas yang melibatkan 97 orang penjaga utama pesakit kanser fasa terminal dengan menggunakan persampelan bertujuan. Soal selidik The Adult Carer Quality-of-Life Questionnaire (AC-QoL), Zarit Burden Interview (J-ZBI-8) dan Pearlin’s Sense of Mastery telah digunakan di dalam kajian ini. Berdasarkan analisis data menggunakan Smart-PLS 3.2.8, analisis secara langsung menunjukkan bahawa subskala di dalam beban penjagaan iaitu ketegangan peranan mempunyai pengaruh negatif yang signifikan terhadap kualiti hidup dalam aspek sokongan kepada penjaga, kawalan dalam tekanan menjaga, perkembangan diri dan keupayaan untuk menjaga. Manakala subskala di dalam beban penjagaan iaitu ketegangan personal mempunyai pengaruh negatif yang signifikan terhadap kualiti hidup dalam aspek tekanan menjaga. Seterusnya analisis hubungan tidak langsung pula menunjukkan bahawa kawalan diri didapati tidak berperanan sebagai pengantara dalam hubungan antara beban, tekanan penjagaan dan kualiti hidup penjaga utama. Kajian ini telah memberi implikasi kepada penjagaan dalam kalangan keluarga yang mengalami beban penjagaan terutamanya dalam aspek ketegangan peranan dan personal mereka sehingga menjejaskan beberapa dimensi kualiti hidup mereka. Dalam usaha untuk meningkatkan dimensi di dalam kualiti hidup penjaga utama pesakit kanser di hujung nyawa ini, pekerja sosial merupakan profesion menolong yang akan perlu melakukan beberapa pendekatan, kaedah dan teknik di dalam praktis kerja sosial untuk meningkatkan ketidakfungsian sosial yang berlaku kepada penjaga.
Download

About Author
    Author Name
    . Wanda Kiyah George Albert
    Background
    Website
    Blog