Journal Detail

Journal Title
Strategi Daya Tindak Mangsa Banjir: Kajian Kes Bencana Banjir Di Kelantan Disember 2014
Download Hit
1925
Abstract
Pada Disember 2014, telah berlaku bencana banjir di Kelantan yang dianggap sebagai banjir terbesar dan terburuk di negeri tersebut selepas peristiwa banjir pada 1967. Kesan daripada banjir besar yang berlaku, mangsa banjir bukan sahaja mengalami kemusnahan fizikal seperti kemusnahan harta benda secara total malah turut berdepan dengan isu psikologikal. Berdasarkan tinjauan kajian terdahulu mendapati, strategi daya tindak merupakan faktor daya tahan yang dapat melindungi mangsa banjir daripada berhadapan dengan masalah psikologikal yang lebih kritikal. Oleh itu, kajian ini dijalankan adalah untuk meneroka strategi daya tindak yang digunakan oleh mangsa banjir yang kehilangan harta benda secara total kesan daripada banjir yang berlaku. Bagi menjalankan kajian ini, seramai 28 orang mangsa banjir yang mengalami kehilangan harta benda secara total telah dipilih dengan menggunakan kaedah persampelan secara bertujuan. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif di mana kajian kes dipilih sebagai reka bentuk kajian. Pemilihan informan adalah secara bertujuan dengan menggunakan kriteria inklusif. Dua sesi temu bual secara mendalam telah dijalankan secara berasingan sehingga data mencapai tahap ketepuan. Data yang diperoleh kemudiannya dianalisis menggunakan kaedah tematik analisis. Hasil daripada kajian yang dijalankan mendapati, empat strategi daya tindak yang digunakan oleh informan iaitu strategi daya tindak berfokuskan masalah, daya tindak berfokuskan emosi, daya tindak berasaskan agama dan daya tindak maladaptif. Informan yang menggunakan strategi daya tindak yang berkesan seperti daya tindak berfokuskan masalah, berfokuskan emosi dan daya tindak berasaskan agama secara positif telah menunjukkan daya tahan yang tinggi dan seterusnya membantu mereka dalam mencapai kesejahteraan fizikal dan psikososial selepas banjir. Walau bagaimanapun, informan yang gagal menggunakan strategi daya tindak yang berkesan seperti daya tindak berasaskan agama secara negatif dan daya tindak maladaptif dilihat mempunyai daya tahan yang rendah seterusnya memerlukan program intervensi khusus yang dapat membantu mereka dalam mencapai kefungsian sosial selepas banjir.
Download

About Author
    Author Name
    Puan. Noremy Md Akhir
    Background
    Website
    Blog